Wednesday, May 26, 2010

KEISTIMEWAAN SUKRI - Izrart

"Kecik-kecik lagi awak dah ada penyakit ni. Payah jugak nak dicerita."

Sukri, remaja biasa-biasa. Selain daripada ber-sms siang-malam dan berseluar skinny jeans setiap waktu. Tiada apa pun yang istimewa dengan dia. Kecuali lah kalau makan nasik lima pinggan sehari itu dianggap istimewa. Maka Sukri ada tiga keistimewaan.

Tapi seperti kata doktor itu tadi. Sukri juga akan 'menjadi' istimewa.

Manusia  pertama dibedah, dikeluarkan, dan disimen hatinya.

Sambil tangan memicit-micit handsetnya, muka Sukri mengelat,
"tapi doktor, saya patah hati biasa-biasa saja."

Friday, May 21, 2010

KLINIK CINTA - Aminah Jones

"Boyfriend yang lepas tu, macam mana you dapat?" tanya Doktor Rushdi demi mendapatkan maklumat dari sang pesakit.

Kesunyian yang berpanjangan buat Fiona rasa murung. Itu pasal dia dapatkan rawatan di Klinik Cinta. Buka 24 jam, 7 hari seminggu.

"Saya kenal melalui Facebook. Kami berkawan untuk dua tahun tetapi jodoh tiada," jawab Fiona.

"Boyfriend yang you dapat tu, macam mana dia lepas?" tanya Doktor Rushdi lagi.

Wednesday, May 12, 2010

KATA-KATA MANIS - Maria Rumi

Tujuh hari bersamanya adalah tujuh hari paling bermakna dalam hidup ku. Pada hari ke tujuh, dia menghantar aku ke lapangan terbang.

Sebelum berpisah dia memegang tangan aku. Lantas, dia menyatakan sesuatu yang amat manis kepada aku. Aku tahu kata-katanya manis dari riak wajahnya. Wajahnya seperti disiram cahaya bulan purnama. Senyuman yang terukir penuh rasa ikhlas dari dasar hati yang penuh dengan cinta. Renungannya. Renungan itu tembus menusuk sanubari ku. Sampai bila-bila tidak akan aku lupakan renungan itu.

Tapi sayang, aku tidak tahu bahasa Itali. Aku tidak tahu makna kata-kata manis itu.

Tuesday, May 11, 2010

BARA- Harris Maulana

Bara dalam dada ini perlu minyak. Bukan air.

CINTA KERA - Ricky Rimau

Ida jiran sebelah rumah. Dia dan aku selalu tunggu bas sekolah yang sama.

"Dia kirim salam kat awak," kata Ida mengambil peranan sebagai posto.

Orang Melayu katanya berlapik. Sejak dari kecil lagi, malu nak meluahkan isi hati secara terus terang. Takut jatuh air muka.

"Waalaikumsalam."

Semua remaja faham "kirim salam" dari orang berlainan jantina yang engkau tidak pernah bersembang, walau seharian dalam bas sekolah yang sama, bermakna dia sudah jatuh hati. Pengirim mahu hubungan yang serius. Satu hubungan yang melibatkan engkau kena beli kad setiap 14 Februari.

"Siapa yang bagi salam?" aku tanya Ida.

Ida pun memberi deskripsi budak perempuan yang juga melanggan bas sekolah yang sama dengan kami tetapi dari kejiranan yang lain.

Perbualan itu berhenti di situ. Aku tidak menunjukkan minat.

Kalaulah dia tahu, sebenarnya setiap kali Ida di ampaian menyidai kain, aku mengendap di balik langsir. Tidak berani. Hatta untuk menyampaikan salam.