Tuesday, July 13, 2010

TARGET TERSASAR - Fikrikacak

Malam itu. Sudah acap kali Ahmad gagal dalam percubaan yang sudah acap kali dia cuba lakukan. Dalam kira-kira 10 percubaan, peratusan keberjayaan hanya 5%. Ahmad berpegang teguh pada prinsip yang pernah dipegang oleh Thomas Alva Edison, setiap satu kegagalan adalah satu langkah untuk kejayaan. Ahmad tak kenal siapa itu Thomas Alva Edison. Abang Ngah yang tahu banyak sebab Abang Ngah selalu bercerita pada Ahmad. Ok, bayangkan, kalau sekali cuba peratusan kejayaan adalah 5%, bagaimana kalau 5 kali percubaan? 10? 15? Ya, lama-lama dia berjaya. Kalau tiap-tiap hari Ahmad fikir macam ini, lambat laun boleh jadi Ahli Matematik Negara.

Esok paginya. Masanya telah tiba. Tempat dah setting. Pipi dah kebal. Telinga dah tuli. Senjata dah bersedia.

"Psttttt...rrrr.....r....rrrrr...."

Mangkuk tandas duduk itu bersepah-sepah dengan cecair hancing. Ahmad yang berdiri kira-kira 3 kaki dari mangkuk tandas itu, tepuk dahi.

"Aisey, gagal lagi..." Ujar hatinya.

Malam itu teruk Ahmad kena piat telinga dengan Mak Jah. Dia lupa lagi nak siram jamban.

Wednesday, June 30, 2010

WAKTU - Jeff Jantan

Di tangan kanannya ada jam digital. Di tangan kirinya juga ada jam digital. Walaupun jam di pergelangan tangan itu dari jenama dan model yang sama, waktunya berbeda 65 minit.

Aku percaya dia seorang pengembara masa.

MIMPI- Tok Rimau

Malam tadi aku mimpi. Aku belajar untuk satu peperiksaan. Aku bukan belajar seorang tetapi beramai-ramai.

Kami belajar di tingkat tiga sebuah pasar. Bukan pasar raya tetapi pasar basah.

Kemudian, ada di antara kami, seorang gadis berbikini, mengeluarkan ganja. Ramailah yang berhenti belajar dan mula menghisap ganja. Aku pun terpengaruh tetapi aku kata dalam hati, "aku habiskan satu bab lagi, baru aku join."

Belum sempat aku turut serta, sekumpulan polis berbikini menghunus pistol ke arah kami. Rupanya, gadis berbikini yang memulakan parti ganja itu juga seorang polis. Ramai yang diberkas. Aku tidak kena tangkap kerana aku tidak hisap lagi.

Aku terjaga dari tidur. Benda pertama aku fikir, di manakah satu pasukan polis berbikini menyorokkan pistol mereka?

Monday, June 7, 2010

COMEL - Mizan

"Comelnya anak kau!" kata Jeslina kepada Norin. "Untunglah, kahwin je tup tup 9 bulan lepas tu bersalin, kiranya permata yang menyenari kebahagiaan rumahtangga", tambah Jeslina lagi sebagai mentahniahkan rakan baiknya secara berlebihan.

Norin hanya tersenyum.

"Er, by the way. Dia ikut muka siapa ek?, kau ke husband?"

Sambil mencium anak di timangannya dengan seraya dia berkata "jiran".

Saturday, June 5, 2010

CINTA HARTANAH - Mizan

Bang, benda apa yang paling mahal buat seorang insan? tanya seorang budak sekolah menengah yang mencuba menduga ilmu kejiwaan seorang brader.

"Hurm.." keluh brader tersebut dalam usaha memberikan jawapan, walau sinar matanya ada keyakinan, tetapi ditahan dari memberikan jawapan segera kerana mahu kelihatan lagak sebagai pemikir handalan.

"Apa bang? Cinta sejati ke. hehe" - budak sekolah menengah yang baru berjinak dengan kisah percintaan sembilu itu mula melontarkan dugaan sambil tersengih kerana perasan dirinya mendahului jawapan brader.

Dengan tenang brader tersebut melontarkan jawapan bersifat realiti. "cinta sejati tu murah je harganya dik, yang paling mahal bagi seorang insan sekarang adalah harga rumah"

Wednesday, May 26, 2010

KEISTIMEWAAN SUKRI - Izrart

"Kecik-kecik lagi awak dah ada penyakit ni. Payah jugak nak dicerita."

Sukri, remaja biasa-biasa. Selain daripada ber-sms siang-malam dan berseluar skinny jeans setiap waktu. Tiada apa pun yang istimewa dengan dia. Kecuali lah kalau makan nasik lima pinggan sehari itu dianggap istimewa. Maka Sukri ada tiga keistimewaan.

Tapi seperti kata doktor itu tadi. Sukri juga akan 'menjadi' istimewa.

Manusia  pertama dibedah, dikeluarkan, dan disimen hatinya.

Sambil tangan memicit-micit handsetnya, muka Sukri mengelat,
"tapi doktor, saya patah hati biasa-biasa saja."

Friday, May 21, 2010

KLINIK CINTA - Aminah Jones

"Boyfriend yang lepas tu, macam mana you dapat?" tanya Doktor Rushdi demi mendapatkan maklumat dari sang pesakit.

Kesunyian yang berpanjangan buat Fiona rasa murung. Itu pasal dia dapatkan rawatan di Klinik Cinta. Buka 24 jam, 7 hari seminggu.

"Saya kenal melalui Facebook. Kami berkawan untuk dua tahun tetapi jodoh tiada," jawab Fiona.

"Boyfriend yang you dapat tu, macam mana dia lepas?" tanya Doktor Rushdi lagi.

Wednesday, May 12, 2010

KATA-KATA MANIS - Maria Rumi

Tujuh hari bersamanya adalah tujuh hari paling bermakna dalam hidup ku. Pada hari ke tujuh, dia menghantar aku ke lapangan terbang.

Sebelum berpisah dia memegang tangan aku. Lantas, dia menyatakan sesuatu yang amat manis kepada aku. Aku tahu kata-katanya manis dari riak wajahnya. Wajahnya seperti disiram cahaya bulan purnama. Senyuman yang terukir penuh rasa ikhlas dari dasar hati yang penuh dengan cinta. Renungannya. Renungan itu tembus menusuk sanubari ku. Sampai bila-bila tidak akan aku lupakan renungan itu.

Tapi sayang, aku tidak tahu bahasa Itali. Aku tidak tahu makna kata-kata manis itu.

Tuesday, May 11, 2010

BARA- Harris Maulana

Bara dalam dada ini perlu minyak. Bukan air.

CINTA KERA - Ricky Rimau

Ida jiran sebelah rumah. Dia dan aku selalu tunggu bas sekolah yang sama.

"Dia kirim salam kat awak," kata Ida mengambil peranan sebagai posto.

Orang Melayu katanya berlapik. Sejak dari kecil lagi, malu nak meluahkan isi hati secara terus terang. Takut jatuh air muka.

"Waalaikumsalam."

Semua remaja faham "kirim salam" dari orang berlainan jantina yang engkau tidak pernah bersembang, walau seharian dalam bas sekolah yang sama, bermakna dia sudah jatuh hati. Pengirim mahu hubungan yang serius. Satu hubungan yang melibatkan engkau kena beli kad setiap 14 Februari.

"Siapa yang bagi salam?" aku tanya Ida.

Ida pun memberi deskripsi budak perempuan yang juga melanggan bas sekolah yang sama dengan kami tetapi dari kejiranan yang lain.

Perbualan itu berhenti di situ. Aku tidak menunjukkan minat.

Kalaulah dia tahu, sebenarnya setiap kali Ida di ampaian menyidai kain, aku mengendap di balik langsir. Tidak berani. Hatta untuk menyampaikan salam.